KOTA KINABALU: Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru ahli-ahli UMNO di negeri ini supaya menerima keputusan pucuk pimpinan parti mengenai calon yang dipilih bertanding dengan hati terbuka.
Beliau berkata, proses pemilihan calon kini berada pada peringkat akhir dan keputusan dibuat selepas meneliti pelbagai pandangan serta pertimbangan daripada UMNO Sabah dan UMNO pusat.
“Saya berharap siapa pun yang telah diputuskan menjadi calon perlu diterima. Jangan ada sabotaj atau ‘cah keting’ yang hanya akan rugikan parti pada PRN kali ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.
“Keputusan mengenai calon dibuat oleh pimpinan di peringkat negeri dan juga pusat setelah menilai semua sudut,” tambah beliau.
Ahmad dilaporkan berkata demikian selepas Festival Budaya Bugis di Tampok Darat, Benut, Johor, pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan menjadi calon bukan perkara mudah kerana kehidupan selepas itu bukan lagi milik diri dan keluarga semata-mata, tetapi untuk rakyat.
“Kalau dulu masa banyak untuk keluarga, selepas ini tiada lagi. Bila jadi calon, mereka perlu bekerja keras memastikan kemenangan. Saya ucapkan selamat berjuang kepada mereka yang dipilih,” katanya.
Ahli Parlimen Pontian itu turut mengingatkan ahli yang tidak terpilih agar kekal setia dan memberi kerjasama kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kemenangan parti.
“Kepada yang tidak terpilih sebagai calon, jangan melakukan sabotaj kepada calon dan parti. Mungkin rezeki mereka akan tiba pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti,” ujarnya.

https://shorturl.fm/Corwl