PRN Sabah: Tiada kerjasama dengan STAR, SAPP – Shafie

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan parti itu tidak akan bersekutu dengan STAR atau Parti Progresif Sabah (SAPP) selepas kedua-duanya keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) minggu lalu.

Beliau berkata Warisan akan terus memperjuangkan hak Sabah secara bersendirian termasuk isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tanpa terikat dengan gabungan politik tempatan.

“Itu hak mereka (STAR dan SAPP) untuk bergabung atau membentuk gerakan sendiri. Tapi bagi Warisan, kami bekerja dengan rakyat Sabah, bukan mana-mana parti. Rakyat yang akan tentukan kerajaan, bukan gabungan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Warisan, di Kolombong, di sini.

“Di peringkat nasional, saya menyokong kerajaan perpaduan Malaysia. Tetapi di peringkat negeri, saya berjuang untuk hak Sabah, MA63, semua hak yang kita ada.

“Kita sudah putuskan, kita sudah umumkan, kita bekerja dengan rakyat Sabah — bukan dengan mana-mana parti. Bukan STAR, bukan GRS, bukan mana-mana gabungan yang akan tentukan kerajaan. Rakyat Sabah yang akan tentukan,” tambah beliau.

Shafie turut menolak spekulasi kemungkinan Warisan bekerjasama dengan parti lain, menegaskan majlis tertinggi parti dua kali membuat keputusan untuk bertanding di semua 73 kerusi.

Beliau menambah politik gabungan sering membawa kepada perebutan jawatan, sedangkan Warisan mahu fokus kepada isu rakyat seperti air, pekerjaan dan makanan.

Beliau menegaskan sejarah menunjukkan parti tunggal mampu mentadbir dengan berkesan, dengan merujuk kepada pentadbiran terdahulu seperti Usno dan Parti Bersatu Sabah (PBS), yang masing-masing memerintah Sabah selama sedekad tanpa rakan gabungan.

Shafie berkata Warisan akan mengumumkan misi serta visinya bagi pembangunan Sabah sebaik sahaja senarai calon dimuktamadkan, termasuk strategi memanfaatkan hasil negeri seperti gas, minyak dan tanah demi kepentingan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *