KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan telah turun padang untuk mendekati rakyat di Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah berkesempatan untuk ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Putih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.
“Pagi ini ke PDM Pasir Putih di DUN Tanjung Keramat, Parlimen Putatan untuk menghadiri majlis ramah mesra dan bersarapan bersama penduduk sekitar.
“Turut bersama, Jeffery Nor Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Putatan, bersama barisan kepimpinan bahagian dan jentera tempatan.
“Alhamdulillah, suasana penuh mesra dalam semangat kekeluargaan dan keakraban masyarakat setempat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO telah ke Kampung Meruntum untuk menziarahi warga emas di kawasan tersebut.
“Selesai bersarapan teruskan pergerakan hari ini dengan menziarahi penduduk warga emas sekitar kawasan PDM Pasir Putih.
“Pergerakan turut diteruskan ke Kampung Meruntum yang juga terletak di bawah PDM Pasir Putih bagi tujuan sama.
“Semoga mereka sentiasa dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kesejahteraan berpanjangan,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.
Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online
