KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) mencetuskan gelombang baharu politik di Tuaran apabila seramai 1,167 individu menyertai parti itu, sekali gus membuka 20 cawangan baharu di kawasan berkenaan.
Kemasukan ini bukan sahaja melibatkan ahli biasa, malah turut disertai tokoh politik berpengaruh daripada pelbagai parti lain termasuk mantan Timbalan Presiden USNO, Matbee Ismail; Ketua Bahagian PBS Petagas merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Azmi Ahmad; dan Ketua Bahagian PBS Likas, Datuk Dr Joseph Lee yang juga AMT PBS.
Antara nama lain yang turut memberi kejutan ialah Amri Suari, Datuk Dr Siti Khairiah Sh Mohammad, Tarmizi Shandu @ Tara Singh, Ombilud Onul, Rose L. Jani, Matshah Sual dan Matshah Idris Kuriring.
Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, perkembangan itu membuktikan rakyat Sabah semakin sedar hanya perpaduan mampu menjamin masa depan negeri.
“Sabah hanya akan kuat apabila kita bersama dalam satu parti, bukan berpecah dalam puluhan parti kecil. Penyertaan 1,167 ahli ini adalah isyarat jelas bahawa rakyat mahukan penyatuan,” katanya.
Menurut beliau, sokongan padu di Tuaran diyakini akan menjadi pencetus kepada gelombang baharu sokongan terhadap Warisan di seluruh Sabah. – SNT
