KOTA KINABALU: UMNO telah mengadakan rundingan kerjasama dengan pihak-pihak berkaitan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, walaupun belum ada keputusan muktamad dibuat setakat ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, persiapan bagi menghadapi PRN Sabah telah pun dimulakan sejak tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha kesiapsiagaan parti.
“Kita telah mengadakan perbincangan, namun belum ada keputusan muktamad. Malah, kita telah berada dalam keadaan bersedia dan membuat persiapan sejak tahun lalu untuk menghadapi PRN Sabah,” katanya sebagaimana dipetik Bernama.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, Kelantan, hari ini.
Dewan Undangan Negeri Sabah dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November ini, sekali gus membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17.
Dalam PRN Sabah ke-16 yang diadakan pada tahun 2020, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN) memenangi 17 kerusi, Barisan Nasional (BN) memperoleh 14 kerusi, manakala Parti Bersatu Sabah (PBS) meraih tujuh kerusi — sekali gus memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
