PRN Sabah: UMNO/BN Sabah diberi autonomi tentukan calon di 48 kerusi DUN – Ahmad Zahid

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO/BN Sabah akan meletakkan calon di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan, meskipun permintaan itu dibuat di peringkat negeri, namun beliau telah memberikan kuasa autonomi penuh kepada UMNO/BN Sabah untuk menentukan strategi dan calon yang sesuai bagi kerusi berkenaan.

“Saya mendengar dengan jelas permintaan dari UMNO/Barisan Nasional (BN) Sabah untuk meletakkan calon di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan itu adalah permintaan dari mereka, tetapi sebagai Pengerusi BN diperingkat nasional telah memberikan kuasa autonomi kepada UMNO/BN Sabah.

“Sudah tentu mereka ada mempunyai perkiraan tersendiri untuk kerusi-kerusi yang ditanding itu.

“Kita lihat ‘winnabality’ ini bergantung kepada beberapa faktor dan ia akan tentukan serta muktamadkan calon-calon yang dikemukakan itu,” katanya ketika merasmikan program Mooda-Desa di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.

Turut hadir pada program Mooda-Desa ini,  Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta kepimpinan UMNO/BN Sabah.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan keputusan itu akan dimuktamadkan selepas penelitian bersama rakan-rakan di Sabah serta Ibu Pejabat UMNO.

“Saya bersama rakan-rakan dari Sabah dan juga Ibu Pejabat akan meneliti serta memuktamadkan kerusi-kerusi yang akan dijangkakan mempunyai kebolehmenangan yang tinggi.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH), meneliti dan akan memuktamadkan supaya tidak akan timbul perselisihan kerusi BN dengan PH dan PH masih lagi berunding dengan GRS untuk tentukan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh PH,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.

PRN ini bakal menyaksikan 73 kerusi dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.

Tempoh berkempen selama 14 hari bermula pada 15 November 2025 hingga jam 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan. – UMNO Online

 

One thought on “PRN Sabah: UMNO/BN Sabah diberi autonomi tentukan calon di 48 kerusi DUN – Ahmad Zahid

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *