PRN Sabah: UMNO Papar siap siaga, rakyat bijak menilai – Jamal Nerubi

PAPAR:Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi menegaskan bahawa jentera UMNO kini berada dalam mode siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan diadakan November depan.

Beliau berkata, seluruh kekuatan akar umbi UMNO Papar kini tersusun kemas dengan semangat perpaduan yang tinggi bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kembali menjadi pilihan rakyat di negeri ini.

“UMNO Papar sudah bersedia di semua peringkat iaitu dari cawangan hingga ke bahagian. Kita tidak lagi berada pada tahap persiapan, tetapi sudah pun berada dalam gear siap tempur untuk menghadapi PRN17,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Jamal, rakyat Sabah hari ini semakin bijak menilai, khususnya apabila melihat perbandingan antara zaman pemerintahan BN dahulu dengan keadaan semasa di bawah kerajaan campuran sekarang.

“Rakyat masih ingat bagaimana ketika BN mentadbir, pembangunan infrastruktur berjalan lancar, peluang pekerjaan lebih luas dan kebajikan rakyat lebih terjamin. Hari ini, banyak janji yang hanya tinggal janji. Rakyat boleh menilai sendiri,” ujarnya.

Beliau menambah, keyakinan terhadap BN dan UMNO semakin meningkat hasil usaha berterusan pimpinan negeri dan pusat yang terus mendekati rakyat serta menyelesaikan isu-isu setempat secara realistik.

“UMNO tidak berjanji kosong. Kita turun ke lapangan, dengar suara rakyat dan cari jalan penyelesaian. Sebab itu rakyat Papar masih percaya kepada BN dan mahu melihat kestabilan yang pernah mereka rasai dahulu kembali semula,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Presiden UMNO/Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sentiasa memberi sokongan kepada semua bahagian bagi memastikan kekuatan parti berada pada tahap optimum.

“Kesepaduan antara kepimpinan pusat, negeri dan bahagian amat penting. Kita dapat lihat semangat baharu dalam UMNO Sabah malah kini jentera semakin tersusun dan rakyat semakin yakin dengan hala tuju BN,” katanya lagi.

Jamal turut menyeru seluruh jentera parti agar mengekalkan disiplin, kekuatan dan perpaduan menjelang PRN nanti demi memastikan kemenangan BN di Papar serta seluruh Sabah, seterusnya mengembalikan kestabilan dan kemakmuran seperti ketika era pemerintahan BN dahulu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.

PRN ini menyaksikan 73 kerusi bakal dipertandingkan di 25 kawasan Parlimen negeri itu.

Tempoh berkempen selama 14 hari bermula pada 15 November 2025 hingga jam 11.59 malam, 28 November 2025, manakala sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) akan digunakan. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *