PRN Sabah: Wetrom sahkan bertanding di DUN Matunggong

KOTA MARUDU: Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda, mengesahkan hasrat untuk bertanding di kerusi DUN Matunggong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu, berkata langkah berpindah dari kerusi DUN Bandau ke Matunggong dibuat selepas menerima desakan daripada penyokong akar umbi.

“Ini bukan tugas yang mudah, tetapi saya yakin rakyat Matunggong mahukan perubahan, sebagaimana rakyat Kota Marudu tunjukkan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022,” katanya selepas melancarkan jentera pilihan raya KDM bagi kawasan Matunggong, Bandau dan Tandek di Kota Marudu pada Sabtu.

Wetrom sebelum ini memenangi kerusi DUN Bandau pada pilihan raya negeri yang lalu. Pada PRU15 beliau mencipta kejutan apabila menewaskan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Maximus Ongkili di Parlimen Kota Marudu.

Kerusi DUN Matunggong kini diwakili oleh  Julita Mojungki dari PBS yang memenangi kerusi itu pada PRN 2020 dalam pertandingan lapan penjuru.

Sementara itu, Wetrom mendedahkan bahawa KDM telah memuktamadkan senarai 36 kerusi DUN untuk ditandingi, dengan beberapa lagi masih dalam pertimbangan.

“Setakat ini, kami pasti akan bertanding di 36 kerusi, manakala beberapa lagi masih dalam semakan.

“Sebelum ini saya sebut kira-kira 20 kerusi, tetapi kami menerima banyak permintaan daripada kawasan lain. Apa yang pasti, kami akan bertanding secara solo,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *