KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) kini sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
Pemangku Presidennya, Priscella Peter berkata, beliau yakin KDM akan menjadi pilihan rakyat walaupun dianggap parti kecil oleh sesetengah pihak pada PRN17 nanti, terutama dengan keadaan politik semasa di Sabah.
Katanya, begitu banyak sekali isu yang timbul di Sabah ketika ini, ditambah lagi dengan sentimen rakyat yang lebih mengutamakan parti tempatan.
“Tidak perlu saya jelaskan dengan terperinci, semua orang tahu isu-isu yang panas di Sabah ketika ini, ianya juga menyemarakkan lagi kemarahan rakyat yang sudah terbeban dengan isu-isu pembangunan, ia seperti ‘menambah minyak ke api’.
“Selain itu, kita juga boleh melihat sentimen rakyat ketika ini, anda mendengarnya di mana-mana dan melihatnya di media-media sosial, rakyat mahukan parti tempatan, jadi inilah yang kami tawarkan kepada rakyat, KDM adalah parti tempatan yang akan bergerak solo pada PRN17 nanti.
“Ya mungkin kami dianggap parti kecil, tapi kami sudah bersedia (hadapi PRN17),” katanya ketika ditemui, semalam.
Priscella berkata, KDM juga akan bertanding di sekurang-kurangnya 38 kerusi DUN pada PRN17 nanti dengan beberapa lagi kawasan masih dalam pemerhatian serta penelitian.
Katanya, beliau yakin KDM akan menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas PRN17 nanti, sama ada secara dominan atau sebagai ‘kingmaker’ yang akan menentukan pembentukan kerajaan.
“Sudah sampai masanya Sabah ditadbir oleh sebuah kerajaan yang inklusif, berdaya saing, teratur dan yang paling penting mengutamakan kepentingan rakyat.
“Rakyat Sabah berani membuat perubahan dan ianya sudah terbukti, saya yakin suara rakyat Sabah yang dahagakan perubahan dan pembaharuan akan ‘bergema’ pada PRN17 nanti,” katanya. – Jesselton Times