PRN17: Gemilang Anak Sabah sasar tanding 55 kerusi

KOTA KINABALU: Parti Gemilang Anak Sabah  berhasrat bertanding 55 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang dengan matlamat untuk mengambil alih kerajaan negeri.

Presidennya, Jismit Japong (gambar) berkata tumpuan mereka adalah kepada kerusi-kerusi yang berpotensi untuk menang, tidak termasuk termasuk kawasan di mana penyandangnya dijangka menang mudah.

Beliau berkata antara kawasan yang mereka sasarkan termasuklah DUN Sulaman yang diwakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan DUN Klias kerana beliau (Jismit) berasal dari Klias.

“Kami memasuki pilihan raya negeri dengan matlamat untuk menang, bukan untuk bunuh diri. Sebab itulah kerusi yang kami pilih adalah kerusi yang kami tahu ada peluang untuk menang,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh The Star.

Jismit juga dilaporkan berkata Gemilang Anak Sabah akan membiayai sendiri kempen pilihan raya mereka.

Beliau turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai kemampuan kewangan dan minat politik untuk bertanding sebagai calon parti tersebut.

Jismit, yang sebelum ini bersama UMNO, kemudian menyertai Star Sabah dan selepas itu Warisan berkata Gemilang Anak Sabah akan bergerak secara solo, dan sebarang rundingan mengenai gabungan atau kerjasama hanya akan dibuka selepas pilihan raya negeri.

Beliau menegaskan parti luar atau parti bukan tempatan tidak akan dipertimbangkan.

Antara perubahan yang akan dibawa oleh Gemilang Anak Sabah sekiranya menang pilihan raya negeri akan datang ialah menubuhkan Kementerian Pembangunan Sumber dan Perlombonganserta melaksanakan nisbah tenaga kerja 40:30:30, iaitu 40% untuk lelaki, 30% wanita dan 30% belia lelaki dan perempuan.

Jismit berkata tumpuan mereka ialah untuk membanteras rasuah dan menumpukan pembangunan infrastruktur, ekonomi, pendidikan percuma dan mampu milik dari peringkat rendah hingga universiti serta sektor-sektor penting lain di Sabah.

Beliau menegaskan bahawa tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau anggota Kabinet dibenarkan menguruskan sendiri projek atau urusan pembangunan, sebaliknya sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk memantau perkara tersebut.

Menurutnya, sekiranya diberi mandat, Gemilang Anak Sabah akan memberi tumpuan untuk membawa lebih banyak pembangunan dan perubahan positif dalam pelbagai aspek untuk rakyat dan negeri, di samping memastikan hutang-hutang negeri kepada kerajaan persekutuan sebelum ini akan ditanggung oleh pihak yang memegang tampuk kerajaan ketika hutang itu dibuat.

“Kami mahu membentuk kerajaan sebagai sebuah parti tunggal, dan jika tidak mampu sebagai parti tunggal, kami mahu tetap menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri,” tegas Jismit.

Beliau berkata manifesto penuh akan dilancarkan sejurus selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

One thought on “PRN17: Gemilang Anak Sabah sasar tanding 55 kerusi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *