PRN17: Parti KDM ikrar teruskan perjuangan selepas rayuan semakan Peter Anthony ditolak

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan tetap meneruskan perjuangan politiknya meskipun Presiden parti itu, Datuk Peter Anthony, gagal dalam rayuan terakhir untuk mengetepikan sabitan pemalsuan dokumen yang dikenakan terhadapnya.

Pemangku Presiden, Priscella Peter (gambar), berkata keputusan mahkamah pada Rabu itu tidak akan melemahkan parti, sebaliknya menjadi pemangkin untuk mereka bekerja lebih keras bagi mencipta kejayaan dalam pilihan raya negeri Sabah akan datang.

“Secara jujurnya, kami kecewa dengan keputusan mahkamah. Namun, perkara ini tidak akan melemahkan kami, malah membakar lagi semangat untuk terus berjuang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis yang dipetik The Star.

Priscella turut menegaskan bahawa KDM tetap berpegang teguh dengan pendirian untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri, dan parti itu sudah bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, KDM semakin mendapat sokongan rakyat di peringkat akar umbi, dengan ramai yang mula mendekati ahli-ahli partinya.

Pada Rabu, Peter gagal dalam permohonan semakan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Dengan keputusan itu, sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen dan dikekalkan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan terhadap Peter, dengan ini adalah kekal.

Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, mula menjalani hukuman penjara itu pada 4 Mac lalu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan akhirnya pada tarikh itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *