Kerusi DUN Pintasan dijangka akan menjadi salah satu kerusi panas pada PRU DUN Sabah ke-17 akan datang bukan sahaja kerana ramai calon diramalkan bertanding, tetapi juga ‘pertembungan’ antara dua pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai siapa yang layak dicalonkan GRS di kerusi itu.
Dari mula banyak pihak meramalkan penyandang Datuk Fairuz Renddan akan dipertaruhkan oleh GRS untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Selain mengetuai sayap Pemuda PGRS (Gagasan Rakyat) yang merupakan tonggak GRS, Fairuz diakui umum sebagai memiliki rekod perkhidmatan yang cemerlang di DUN yang diwakilinya.
Namun masalah dijangka timbul apabila Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga turut berminat bertanding di kerusi berkenaan. Malah menurut laporan Sinar Harian semalam Pandikar dilaporkan percaya GRS tidak mempunyai pilihan lain selain meletakkannya sebagai calon di DUN tersebut.

Pandikar dilaporkan berkata berdasarkan kedudukannya sebagai salah seorang Timbalan Presiden GRS dan peneraju kepada salah satu parti komponen gabungan itu, beliau yakin pucuk pimpinan akan mengambil kira peranannya dalam menentukan calon di DUN Pintasan.
Bekas Speaker Dewan Rakyat itu merasakan masih mampu berkhidmat dan menyumbang kepada rakyat.
Pandikar dilaporkan berkata demikian ketika diminta mengulas pemberita mengenai pengakuannya dalam ucapan yang berhasrat mahukan kerusi Pintasan untuk ditandinginya dalam PRN kali ini.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun terdapat ramai individu melobi untuk menjadi calon di DUN Pintasan, termasuk penyandang kerusi berkenaan, GRS tidak mempunyai pilihan lain selain memberi ruang kepada USNO.
“Penyandang sekarang ini mahu juga mempertahankan kerusi iaitu Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). Jadi, dia mahu pertahankan kerusi itu kerana dia cemerlang, itu saya setuju.
“Tetapi perkiraan pucuk pimpinan GRS di mana saya adalah Timbalan Presiden antara seorang, kita memikirkan bahawa pemimpin-pemimpin komponen GRS itu harus juga diketengahkan untuk bertanding. Kerana kalau pemimpin-pemimpin komponen GRS tidak disuruh bertanding, apalah faedah GRS?” soalnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.
Dan jika benar Pandikar dicalonkan di situ, bagaimana pula dengan Fairuz? Adakah dia akan dipindahkan ke kawasan lain atau dikekalkan di Pintasan berdasarkan kedudukan dalam parti dan rekod cemerlang yang telah dibuktikannya?
Dalam laporan yang sama Pandikar menolak kemungkinan dia akan ‘merajuk’ jika tidak dicalonkan. Tetapi katanya, “Untuk menjadi ahli politik, seseorang mesti ada ‘substance’. Seperti perumpamaan saya tadi, ibarat lada, biar kecil, tapi bila digigit terasa pedasnya. Jadi, jangan sembarangan gigit Pandikar Amin kalau tak mahu kepedasan.”
Bunyinya sahaja sudah cukup panas!
