PUTRAJAYA: Rundingan mengenai pengagihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kini berada di peringkat akhir, kata Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Selain itu, Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri mengesahkan bahawa rundingan antara PH dan Barisan Nasional (BN) telah pun selesai.
“Saya boleh sahkan bahawa pembahagian kerusi antara PH dan BN telah dimuktamadkan. PH dan GRS kini berada di peringkat akhir, dan sebagai Setiausaha Agung PH yang diamanahkan dengan tanggungjawab ini, saya akan memuktamadkannya dalam masa terdekat.
“Minggu lalu saya berada di Kota Kinabalu untuk mengadakan rundingan ini. Seperti biasa, rundingan tidak pernah selesai hanya selepas satu pusingan. Setelah dimuktamadkan, saya akan maklumkan kepada media,” katanya pada sidang media sempena Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 29 November sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala penamaan calon pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November.
Mengulas mengenai kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRN itu, Saifuddin Nasution berkata masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian.
“Masih terlalu awal untuk saya membuat andaian seperti itu,” tambahnya.
Berita asal: BERNAMA
