KOTA KINABALU: Parti tempatan Anak Negeri mengumumkan tawaran menarik iaitu subsidi minyak RM1 seliter untuk rakyat Sabah sebagai antara teras utama manifesto mereka menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Selain itu parti itu turut menawarkan pembinaan hospital di setiap kawasan Parlimen, serta penyediaan pendidikan dan perumahan percuma untuk rakyat, selain tegas dalam usaha pemulihan hak 40 peratus hasil Sabah.
Pengarah Pilihan Raya Anak Negeri, Jismit Japong, menegaskan manifesto itu bukan sekadar janji pilihan raya, tetapi pelan tindakan realistik yang mampu dilaksanakan sekiranya kerajaan negeri dibentuk atas semangat perjuangan rakyat Sabah sendiri.
Jismit turut berkata Anak Negeri akan bertanding di 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikannya antara parti tempatan paling aktif bersiap menghadapi saingan besar PRN kali ini.
Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat selepas menilai kekuatan jentera di peringkat akar umbi, kesiapsiagaan calon di seluruh negeri, serta sambutan positif daripada rakyat.
“Kami percaya inilah masa terbaik untuk rakyat Sabah memilih sebuah parti tempatan yang benar-benar memperjuangkan hak negeri ini tanpa bergantung kepada parti luar,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
“Kami bukan sekadar mahu menang pilihan raya. Kami mahu mengembalikan maruah dan kuasa rakyat Sabah. Anak Negeri bukan parti kecil — kami gerakan rakyat yang membawa mesej kebangkitan sebenar,” tegasnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa semakin ramai anak muda dan golongan profesional menyertai Anak Negeri kerana mahu melihat politik Sabah bebas daripada pengaruh pusat dan kembali kepada roh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Cukuplah Sabah sekadar jadi pemerhati kepada keputusan yang dibuat di Putrajaya. Sudah tiba masanya rakyat negeri ini menentukan masa depan sendiri,” katanya.
Parti itu dijangka mengumumkan senarai penuh calon tidak lama lagi, termasuk beberapa tokoh berprofil tinggi yang akan mewarnai saingan sengit dalam PRN Sabah ke-17.
