RANAU: Ranau kini berdepan masalah tiga (3) serangkai jalan raya rosak, bekalan air tidak menentu dan gangguan elektrik yang menjerut nadi ekonomi tempatan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ranau, Md. Nadzmin Kamin menegaskan ketiga-tiganya menjadi penghalang utama kepada sektor pelancongan, pertanian dan penternakan yang menjadi sumber rezeki utama penduduk.
“Ironinya, sebahagian besar projek asas ini termasuk jalan pertanian, bekalan air luar bandar dan tenaga dimulakan ketika era Barisan Nasional (BN). Namun selepas BN tidak lagi mentadbir, banyak projek terbengkalai dan tidak diselenggara.
“Jalan ladang yang tidak diselenggara menyukarkan pengusaha menghantar hasil ke pasaran. Di sektor pelancongan, kesesakan di pekan Ranau serta jalan sempit menuju Kundasang dan Poring menjejaskan pengalaman pelancong. Gangguan bekalan air dan elektrik pula melumpuhkan operasi inap desa, kilang kecil dan pengusaha produk tenusu.
“Kerajaan negeri boleh berbangga dengan angka RM2.6 bilion untuk infrastruktur dalam Belanjawan 2025, tetapi persoalannya, mengapa masalah asas rakyat masih berlarutan tanpa penyelesaian sebenar,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Menurut Nadzmin, percaya hanya BN saja yang boleh mentadbir Kerajaan negeri kerana parti tersebut berpengalaman dan berpaksikan kepada rakyat.
“BN percaya, hanya dengan kesinambungan pentadbiran berpengalaman dan berpaksikan rakyat, Ranau dapat dipulihkan sebagai hab pertanian moden dan pelancongan mampan yang sebenar di Sabah,” katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
