KOTA KINABALU: PAS Sabah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas jalan raya membabitkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Perak 9 Jun lalu.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, tragedi itu menjadi peringatan penting kepada semua pihak agar tidak memandang ringan isu keselamatan jalan raya, khususnya di Sabah yang masih berdepan masalah infrastruktur.
“Tragedi ini menjadi peringatan penting kepada kita semua agar soal keselamatan jalan raya tidak dipandang ringan. Kita tidak mahu insiden seperti ini berulang, lebih-lebih lagi di negeri Sabah yang juga berdepan cabaran serius dalam aspek infrastruktur jalan.
“Realitinya, keadaan jalan raya di Sabah masih banyak yang tidak memuaskan. Terdapat jalan berlubang, permukaan yang tidak rata, serta mutu pembinaan yang rendah.
“Di samping itu, pencahayaan yang tidak mencukupi di banyak kawasan menambahkan risiko kemalangan, terutamanya pada waktu malam atau ketika cuaca buruk,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan meninggal dunia manakala 27 yang lain cedera dan menerima rawatan di beberapa hospital di Perak, dengan turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun bersama kelindannya, 54.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit dipandu dengan laju dan hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Perodua Alza, lalu terbalik merempuh pembahagi jalan.
Aliakbar berkata, semua pihak termasuk kerajaan, agensi teknikal dan syarikat konsesi perlu menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti.
“Kegagalan dalam melaksanakan tugas ini dengan baik boleh mengorbankan nyawa rakyat yang tidak berdosa,” katanya menggesa agar penyelenggaraan jalan dilaksanakan secara berkala dan berterusan dengan pemantauan yang telus.
Katanya, standard pembinaan dan mutu bahan binaan perlu dipertingkatkan agar jalan tahan lama dan selamat digunakan.
“Sistem pencahayaan jalan raya juga perlu dipasang atau dibaiki segera di kawasan-kawasan berisiko tinggi. Selain itu, siasatan dan audit berkala harus dilakukan terhadap pihak yang diberi tanggungjawab menyelenggara jalan,” katanya.
Beliau berkata, PAS Sabah menyeru semua pengguna jalan raya, khususnya para pemandu, agar sentiasa memandu dengan berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri, penumpang serta pengguna lain.
“Kemalangan bukan sahaja meragut nyawa, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga dan masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY
