Qurban UMNO Kalabakan meriah, erat ukhuwah masyarakat

KALABAKAN: Sebanyak 14 ekor lembu dikorbankan dalam Program Ibadah Qurban Kalabakan 1446 Hijrah anjuran UMNO Bahagian Kalabakan yang berlangsung di Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Rayyaj, Tawau, pagi kelmarin.

Program kerjasama Pertubuhan Peduli Kalabakan dan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Rayyaj itu dilaksanakan bermula seawal pagi dengan penyertaan aktif para sukarelawan serta sumbangan daripada pelbagai pihak.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop, berkata pelaksanaan ibadah qurban pada tahun ini menampilkan kelainan apabila proses sembelihan dilaksanakan di institusi tahfiz, berbeza dengan kebiasaan tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, pengagihan daging qurban akan dibuat mengikut Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh kawasan Kalabakan bagi memastikan ia sampai kepada penerima yang layak secara teratur dan menyeluruh.

“Program ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah semata-mata, malah mencerminkan semangat pengorbanan, keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

“UMNO Kalabakan amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh semua peserta Qurban Kalabakan dan sukarelawan yang menjayakan program ini.

“Ia jelas menunjukkan komitmen parti untuk sentiasa mendekati rakyat dan cakna terhadap keperluan masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Samasuddin yang juga Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah dan Pengerusi Majlis Penerangan dan Media Baharu UMNO Sabah berkata, pendekatan yang diambil kali ini turut memberi ruang kepada institusi tahfiz untuk terbabit secara langsung dalam program kemasyarakatan.

Beliau turut menzahirkan harapan agar ibadah qurban yang dilaksanakan diterima sebagai amal soleh dan menjadi bekalan akhirat buat semua yang terlibat.

“Semoga semangat Aidiladha terus menyemarakkan nilai ukhuwah, perpaduan dan kasih sayang dalam kalangan penduduk Kalabakan,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *