BEAUFORT: Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat menegaskan bahawa slogan “Radu Tetap Radu” bukan sekadar ungkapan semangat, tetapi menggambarkan keteguhan dan keazaman ahli UMNO untuk terus berdiri teguh mempertahankan perjuangan parti demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Radu Tetap Radu di PDM Tinambak yang berlangsung kelmarin dalam suasana penuh meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan penduduk setempat.
“Apabila kita menyebut Radu Tetap Radu, ia memberi mesej jelas bahawa UMNO sentiasa konsisten, istiqamah dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran politik.
“Inilah kekuatan sebenar kita iaitu kesatuan hati dan tekad yang tidak mudah goyah. Dengan semangat ini, kita akan pastikan UMNO kembali menjadi pilihan utama rakyat Sabah dalam PRN akan datang,” katanya kepada UMNO Online.
Menerusi program tersebut, Awang Aslee turut meluangkan masa menyertai acara bersama masyarakat setempat seperti tarik tali, melastik dan pertandingan sukan rakyat.
Ujarnya, kebersamaan ini sekali gus mencerminkan keakraban dan semangat kekeluargaan di peringkat akar umbi.
Awang Aslee turut merakamkan penghargaan kepada Ketua PDM Tinambak, Norjanah Saban bersama jawatankuasanya kerana berjaya menganjurkan program yang bukan sahaja meriah, malah membuktikan kesiapsiagaan jentera parti di peringkat akar umbi.
Program berkenaan turut disertai kepimpinan UMNO Bahagian, termasuk pergerakan Wanita, Pemuda, Ketua-Ketua PDM, Ketua-Ketua Cawangan serta pimpinan masyarakat tempatan yang hadir memberi sokongan padu.
Beliau menambah, kejayaan penganjuran program ini menjadi bukti nyata bahawa semangat Radu Tetap Radu sedang diterjemahkan dalam bentuk kerja dan kesungguhan, sekaligus mengukuhkan keyakinan bahawa UMNO Beaufort berada pada landasan terbaik untuk menghadapi PRN Sabah. – UMNO Online
