Rakyat perlu kenal pemimpin sebenar yang berjuang untuk Sabah

SANDAKAN: Rakyat perlu jelas mengenali siapa pemimpin sebenar yang berjuang untuk Sabah secara konsisten.

Penyelaras MCA Karamunting yang juga Bendahari MCA Sabah Datuk Chin Kim Hiung berkata, rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan pemimpin yang hanya tahu mengambil kesempatan.

Beliau yang juga Ketua Bahagian MCA Libaran berkata, parti politik bukanlah ‘pasar raya’ yang menjadi tempat untuk mencuba pakaian sesuka hati.

“Pemimpin politik yang sentiasa berubah haluan, biarpun mereka memberi pelbagai alasan yang baik, ia tetap mendedahkan hakikat bahawa mereka adalah golongan yang tidak mempunyai idealisme dan pendirian kukuh.

“Walaupun MCA dan Barisan Nasional (BN) berdepan cabaran, mereka tetap berpegang pada prinsip serta sejarah perjuangan yang konsisten.

“Rakan seperjuangan sejati tidak akan berhenti separuh jalan, apatah lagi menukar haluan perjuangan setiap dua tiga tahun. Rakyat mahukan pemimpin yang boleh berakar umbi dan bekerja dengan ikhlas, bukan ‘pelancong politik’ yang hari ini di sini, esok di sana,” katanya semasa menghadiri program BN ‘Mesra Bersama Rakyat’ di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai satu ‘sindiran sinis’ kepada bekas rakan seperjuangannya dalam MCA, Datuk Chew Kok Woh yang disifatkan bertindak menukar parti lebih cepat dari perubahan cuaca di Sabah.

Chin berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, Chew masih mengibarkan bendera BN/MCA dengan penuh semangat dan berjanji untuk berjuang demi masyarakat Cina dan rakyat akar umbi.

Namun katanya, pada awal 2023, Chew berpaling tadah bersama ahli cawangan untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), dengan alasan mahu mencari platform baharu untuk rakyat.

Menurutnya, pada tahun ini, Chew sekali lagi bertukar haluan dengan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), menjadikannya tiga kali menukar identiti parti dalam tempoh singkat tiga tahun.

“Dalam masa tiga tahun, sudah tiga identiti. Rakyat harus sedar, adakah beliau benar-benar berjuang untuk rakyat atau hanya demi kepentingan peribadi.

“Chew juga pernah berdepan situasi ‘ganjil’ ketika menyertai Gagasan Rakyat, apabila namanya tiada dalam rekod keahlian parti.

“Kini sekali lagi beliau melompat ke PKR dan ini hanya akan menimbulkan keraguan lebih besar mengenai arah politik sebenar beliau.

“Jika diri sendiri pun keliru tidak tahu berada di pihak mana, bagaimana rakyat boleh percaya untuk menyerahkan masa depan kepada beliau,” jelasnya.

Sehubungan itu, Chin menyeru supaya rakyat tidak mudah terpedaya dengan tindakan pemimpin politik yang suka bertukar parti demi kepentingan diri sendiri.

Turut hadir pada program itu ialah Pengerusi BN Parlimen Batu Sapi, OKK Zantapha Zainal Abidin. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *