Rakyat Sabah dimohon hormati proses mahkamah – Andi Suryady

TAWAU: Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, menegaskan bahawa beliau tidak bersalah berhubung pertuduhan rasuah berkaitan permohonan lesen cari gali mineral di negeri ini.

Beliau juga menyeru rakyat Sabah agar tidak menjatuhkan hukuman awal atau membuat sebarang spekulasi mengenai kes yang kini sedang dalam proses perbicaraan di mahkamah.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak bersalah dalam kes ini dan sentiasa percaya kepada kedaulatan undang-undang. Saya yakin dengan proses kehakiman yang adil di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Ahli Parlimen Kalabakan itu menegaskan bahawa beliau menerima cabaran ini sebagai satu ujian hidup, namun pada masa sama merupakan ruang untuk membersihkan nama beliau secara terbuka di mahkamah.

“Saya percaya dengan fakta dan bukti yang ada, mahkamah akan membuat keputusan yang adil terhadap saya.

“Justeru, saya juga menyeru orang ramai agar tidak menjadikan media sosial sebagai ‘mahkamah rakyat’ yang menjatuhkan hukuman berdasarkan andaian atau persepsi semata-mata,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjaja cerita, memandangkan kes ini telah didaftarkan di mahkamah dan perbicaraan dijangka bermula pada 5 Ogos depan.

Andi Suryady memohon agar memberi ruang dan masa kepada sistem kehakiman untuk menjalankan tugas tanpa tekanan luar serta jangan biarkan persepsi mengatasi fakta. Hormatilah proses undang-undang.

“Prinsip asas dalam negara demokrasi dan berperlembagaan ialah seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Dalam negara yang menjunjung tinggi prinsip keadilan, kita tidak boleh menjatuhkan hukuman sosial yang boleh mencemarkan maruah serta menjejaskan kehidupan seseorang sebelum keputusan dibuat oleh mahkamah,” katanya.

Walaupun berdepan tekanan dan pelbagai cabaran, beliau menegaskan bahawa dirinya tetap komited menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dan anggota pentadbiran negeri.

“Saya tidak akan lari daripada tanggungjawab. Saya akan terus turun padang, mendengar keluhan rakyat serta mencari penyelesaian kepada isu-isu yang dihadapi masyarakat.

“Saya merakamkan penghargaan kepada keluarga, rakan seperjuangan dan rakyat yang terus memberikan sokongan moral sepanjang melalui ujian ini.

“Terima kasih kepada semua yang terus percaya dan mendoakan. Doa dan kepercayaan anda menjadi kekuatan untuk saya terus melangkah dengan tenang dan tabah,” katanya

Dalam masa sama, beliau berharap masyarakat dapat bersikap matang dan tidak mengeruhkan keadaan dengan andaian yang boleh menjejaskan perjalanan kes.

“Biarlah mahkamah yang menentukan sama ada saya bersalah atau tidak. Saya percaya, akhirnya kebenaran akan terserlah juga,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *