Rakyat Sabah diseru tolak politik sogokan

KOTA KINABALU: Dewan Muslimat PAS Sabah menegaskan isu rasuah dan salah guna kuasa menjadi punca utama kelemahan pembangunan negeri, meskipun Sabah dikurniakan kekayaan hasil bumi, tanah subur dan laut yang luas.

Ketuanya, Norsah Bongsu, berkata kelemahan kepimpinan yang tidak amanah menyebabkan sebahagian hasil negeri bocor ke tangan pihak yang mementingkan diri, sekali gus menzalimi rakyat kecil.

“Sabah tidak miskin, yang miskin ialah kepimpinan tanpa prinsip dan rakyat seharusnya berani menolak politik sogokan dan janji kosong.

“Undi bukan tiket kepentingan sementara, tetapi amanah untuk menentukan masa depan generasi,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Beliau berkata, sejarah telah membuktikan rasuah mampu meruntuhkan negara, melemahkan institusi serta merosakkan moral pemimpin sehingga rakyat terus terperangkap dalam kancah kemiskinan.

Katanya, Muslimat PAS Sabah turut menuntut agar pemimpin dipilih berdasarkan integriti, rekod bersih daripada penyelewengan dan benar-benar peduli terhadap kebajikan rakyat.

“Kami menyeru seluruh masyarakat, khususnya wanita dan ibu, agar menjadi suara hati keluarga dengan mendidik anak-anak memilih kebenaran, menolak sogokan serta tidak menggadaikan maruah negeri melalui undi yang salah,” katanya.

Menurutnya, masa depan Sabah hanya dapat dijamin sekiranya rakyat berani bangkit menolak politik kotor dan memilih pemimpin yang membela rakyat dengan penuh amanah serta integriti. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *