Rakyat Sabah pulang mengundi wajar diberi subsidi tambang – Suhaimi Nasir

LIBARAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, menggesa agar kerajaan dan syarikat penerbangan, khususnya AirAsia, mempertimbangkan pemberian subsidi atau diskaun khas tambang penerbangan bagi rakyat Sabah yang ingin pulang mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini.

Beliau berkata, walaupun AirAsia baru-baru ini mengumumkan promosi khas “Jom Balik Undi” dengan tambang serendah RM299 sehala, harga tersebut masih dianggap tinggi bagi kebanyakan rakyat Sabah, terutamanya golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Dengan kadar RM299 sehala, tambang pergi balik Sabah–Semenanjung mencecah hampir RM600 seorang. Itu belum termasuk caj bagasi, cukai lapangan terbang dan perbelanjaan lain.

“Dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini, rakyat biasa sukar menanggung kos sebesar itu hanya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suhaimi turut mengingatkan bahawa AirAsia pernah menerima pembiayaan sebanyak RM300 juta daripada Sabah Development Bank (SDB) ketika tempoh pandemik COVID-19, yang diluluskan semasa pentadbiran bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal.

Menurutnya, setakat ini jumlah bayaran balik kepada SDB hanya sekitar RM170 juta, menunjukkan masih terdapat baki besar yang belum diselesaikan kepada institusi kewangan milik kerajaan negeri Sabah itu.

“Atas dasar moral dan keadilan sosial, AirAsia wajar menunjukkan tanggungjawab kepada negeri yang pernah membantu mereka bertahan. Tawaran tambang khas bawah RM300 pergi balik kepada pengundi Sabah akan menjadi bukti kepekaan syarikat terhadap rakyat,” ujarnya.

Beliau menambah, langkah itu bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab sosial korporat (CSR), tetapi juga mengembalikan manfaat bantuan kerajaan negeri kepada rakyat, bukan semata-mata kepada keuntungan korporat.

“Jika dana RM300 juta daripada SDB pernah membantu AirAsia ketika waktu sukar, maka menurunkan harga tiket untuk rakyat Sabah pulang mengundi bukanlah beban, tetapi satu bentuk penghargaan dan tanggungjawab sosial,” katanya lagi.

Suhaimi turut menyeru agar Datuk Seri Shafie Apdal tampil menyokong gesaan tersebut bagi memastikan bantuan kewangan yang pernah diberikan kepada syarikat itu akhirnya memberi pulangan langsung kepada rakyat Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *