KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa rakyat Sabah kini semakin celik politik dan mampu menilai dengan matang siapa pemimpin yang benar-benar setia kepada perjuangan parti dan siapa yang menjual prinsip demi kepentingan peribadi.
Menurut beliau, episod pengkhianatan terhadap BN yang dilakukan oleh beberapa bekas pemimpin parti akan diuji semula dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), termasuk keberanian mereka untuk bertanding tanpa berselindung di sebalik nama dan pengaruh BN.
“Kalau betul mahu bertanding, inilah masanya untuk Shahelmey Yahya dan Andi Suryady menunjukkan kekuatan sebenar tanpa bergantung kepada jentera dan pengaruh BN. Jangan lagi berselindung di sebalik kuasa yang diperoleh hasil pengkhianatan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Bung Moktar berkata, kemenangan yang diperoleh mereka pada PRN16 dan PRU15 bukanlah hasil kekuatan individu, sebaliknya disumbang oleh jentera, pengundi serta kepercayaan rakyat terhadap BN.
“Mari kita lihat sejauh mana kamu benar-benar kuat tanpa bendera BN. Rakyat kini lebih matang, mereka tahu siapa yang ikhlas berjuang dan siapa yang menikam dari belakang,” tegas beliau.
Beliau menambah, BN tidak pernah melupakan pengkhianatan yang berlaku dan kini bersedia sepenuhnya untuk berdepan dengan mana-mana pihak yang cuba menafikan perjuangan asal parti.
“UMNO dan BN tidak sekadar mahu menang dalam PRN17, tetapi mahu menghapuskan legasi pengkhianatan yang telah mencemar maruah politik Sabah,” ujarnya lagi.
Katanya, penyokong BN kini lebih bersemangat dan bersatu dalam memastikan calon-calon pengkhianat diberi pengajaran oleh rakyat sendiri, khususnya di DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu.
“Pengundi di kawasan ini pernah menaikkan mereka. Kini tibalah masa untuk rakyat yang sama menunjukkan pendirian, bahawa kesetiaan dan maruah perjuangan tidak boleh dijual beli,” jelasnya.
Beliau menegaskan, rakyat Sabah tidak lagi mudah diperdaya dengan janji manis dan permainan politik sempit, sebaliknya semakin bijak menilai siapa yang benar-benar memperjuangkan kepentingan rakyat dan siapa yang hanya mengejar kedudukan.
“Dalam politik, pengkhianatan mungkin memberi kuasa sementara, tetapi pengkhianat tidak akan pernah dihormati sejarah,” katanya. – UMNO Online
