TANJUNG BATU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Samasuddin Yusop berkata gelombang sokongan rakyat semakin ketara sejak turun padang sejurus selepas hari penamaan calon pada Sabtu lalu.
Ujarnya, setiap kunjungan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM), khususnya di kawasan Pasir Putih, memperlihatkan penerimaan pengundi yang sangat menggalakkan.
“Selepas hari penamaan calon, saya terus berkerja untuk menziarahi pengundi-pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Tanjung Batu. Kita juga menziarah pada warga-warga yang berpengaruh di sekitar PDM Pasir Putih ini dan ‘feedback’ yang diterima dari masyarakat yang kunjungi jelas rakyat sangat rindu pada BN’.
“Ini satu perkembangan yang cukup baik, bukan saja pada orang-orang lama di PDM ini malah anak-anak muda pun sama dan juga sambutan dari anak muda amat baik pada parti ini.
“Kebanyakan ceramah yang diadakan rata-rata anak muda ikut serta memenuhi dan mendengar ceramah tersebut. Malah juga terdapat program-program bersama rakyat dan memahami betapa pentingnya BN memerintah negeri Sabah ini,” katanya kepada UMNO Online selepas ziarah kasih di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasir Putih.
Samasuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, terlalu banyak kerosakan serta kelemahan pentadbiran berlaku sejak 2018 hingga kini yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan hala tuju ekonomi negeri.
“Sejak 2018 hingga kini banyak berlaku kerosakan yang berlaku, maka BN perlu kembali memerintah kerajaan negeri ini untuk ‘bikin balik Sabah’ pada yang lebih baik dan lebih maju khususnya untuk rakyat negeri ini.
“Sepanjang BN tidak lagi mentadbir Sabah, negeri ini dilihat seolah-olah tiada hala tuju dalam usaha menambah ekonomi negeri. Keadaannya jauh berbeza ketika BN memerintah, di mana banyak perkara yang bermanfaat untuk rakyat telah dilaksanakan dan rakyat sendiri dapat merasainya. Itulah hasil jerih perih serta idea para pemimpin BN pada ketika itu,” katanya lagi.
Samasuddin turut berkata bahawa penerimaan masyarakat terhadap pendekatan serta gerak kerja jentera BN yang lebih tersusun dan dekat dengan rakyat semakin menggalakkan.
“Saya sangat optimis, dan kali ini BN Kalabakan akan menyumbangkan tiga kerusi DUN iaitu Tanjung Batu, Kukusan dan Sebatik untuk BN di negeri Sabah.
“Kita telah memulakan kerja aktif di ketiga-tiga DUN sejak dua tahun lalu, malah penerimaan pengundi di ketiga kawasan tersebut juga sangat positif,” jelasnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh PRN ke-17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam, 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
