KOTA KINABALU: Dewan Ulama PAS Negeri Sabah (DUPNS) menegaskan bahawa masa depan Sabah bergantung kepada keberanian rakyat untuk menolak rasuah dan memilih pemimpin yang benar-benar beramanah.
Ketua Penerangan DUPNS, Ustaz Amiruddin Mohd Rosdi dalam kenyataan medianya berkata, pihaknya menyambut baik peringatan Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, berhubung kepentingan membebaskan negeri ini daripada cengkaman rasuah dan kepimpinan tidak bertanggungjawab.
“Sabah mempunyai segala potensi untuk maju dengan hasil bumi yang melimpah, tanah subur serta kedudukan strategik. Namun, hakikatnya negeri ini masih jauh ketinggalan kerana hasil negeri tidak diurus secara telus,” katanya.
Beliau berkata, banyak projek pembangunan terbengkalai, manakala keperluan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih dan sekolah yang sempurna masih gagal dipenuhi.
“Masalah utama bukan kerana Sabah tiada kemampuan, tetapi kerana budaya salah guna kuasa. Pemimpin rasuah hanya memenuhkan kantung sendiri dan kroni, sedangkan rakyat terus dibiarkan miskin dan menderita,” jelasnya.
Menurut Amiruddin, rakyat tidak boleh lagi terpedaya dengan janji manis dan sogokan menjelang pilihan raya kerana undi rakyat adalah penentu masa depan negeri.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam Islam, rasuah adalah dosa besar yang dilaknat Allah SWT, dan baik pemberi mahupun penerima akan menerima balasan neraka.
Sehubungan dengan itu, DUPNS menegaskan bahawa rakyat perlu bangkit menolak budaya rasuah, tidak memberi peluang kedua kepada pemimpin yang khianat serta hanya memilih mereka yang ikhlas, telus dan peduli rakyat.
“Masa depan Sabah bukan ditentukan oleh janji-janji manis, tetapi oleh keberanian rakyat untuk memilih jalan yang betul. Negeri ini tidak miskin, tetapi ia sengaja dimiskinkan oleh kepimpinan yang salah,” tegas beliau.
DUPNS menyeru rakyat Sabah untuk bersatu menolak rasuah dan memilih pemimpin berintegriti demi memastikan negeri yang makmur dan sejahtera.
