KOTA KINABALU: Ketua PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud menyeru pihak yang menang dan yang kalah dalam pemilihan peringkat cabang parti itu yang selesai Ahad lepas kembali merapatkan saf bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Katanya, parti tidak boleh berada dalam keadaan kucar-kacir atau kehilangan fokus dalam menguatkan jentera pilihan raya dan komitmen terhadap perjuangan.
“Pemimpin yang telah menang atau kalah dalam pemilihan itu perlu bersatu untuk mengukuhkan solidariti parti menjelang PRN17, yang dijangka diadakan tidak lama lagi,” kata sebagaimana dilaporkan Daily Exspress.
Pemilihan peringkat cabang PKR baru-baru ini menyaksikan beberapa pemimpin veteran tewas, antaranya termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Christina Liew.
Mustapha sendiri bagaimanapun yang berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang Kota Belud, dengan mencapai kemenangan besar.
Dalam pertandingan tiga penjuru itu Mustapha, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan Ahli Parlimen Sepanggar mendapat 1,405 undi berbanding pencabarnya, Madeli @ Modily Bangali yang mendapat 100 undi dan Azhrie Jenaim dengan 67 undi.
Mengenai kerjasama menghadapi PRN, Mustapha berkata pihaknya akan meneruskan rundingan dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain untuk memuktamadkan peruntukan kerusi.
Setakat ini, PH Sabah masih belum memuktamadkan rundingan kerusi dalaman antara parti komponen mereka, yang dijangka diselesaikan sebelum berunding dengan parti atau gabungan lain.
“PKR Sabah akan meneruskan rundingan dengan parti komponen PH untuk memuktamadkan pembahagian kerusi sebelum membuka perbincangan dengan sekutu berpotensi seperti Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
