Ratib tentang kestabilan

‘Kestabilan politik penting untuk pembangunan’.

Selalunya frasa ini diulang-ulang menjelang sesuatu pilihan raya, terutama pilihan raya umum atau pilihan raya negeri.

Lazimnya juga, yang paling kuat meratib perkara ini ialah parti pemerintah.

Mesej tersiratnya mudah dibaca: jangan gugat kerajaan yang ada kerana ia boleh menjejaskan kestabilan. Beri peluang kami terus berkuasa, kononnya demi memastikan kestabilan itu kekal.

Ya, memang benar kestabilan itu penting sebagai pemangkin pembangunan. Tetapi ia bukanlah satu-satunya faktor. Ada nilai-nilai lain yang lebih asas, lebih menentukan sama ada pembangunan itu berjaya atau hanya tinggal retorik.

Stabil macam mana pun, kalau kerajaan lemah urus tadbirnya, pembangunan tetap gagal. Jika pemimpin tidak berintegriti, terpalit rasuah, salah guna kuasa, bersikap nepotisme, kronisme, dan penuh hipokrasi, kestabilan yang dilaung-laungkan itu hanyalah topeng.

Negeri dan negara boleh nampak stabil di luar, tapi di dalamnya reput perlahan-lahan. Agenda pembangunan tersangkut, kebajikan rakyat diabaikan, dan akhirnya jurang sosial makin melebar.

Asas lain yang tak boleh diketepikan ialah ketelusan. Pemimpin dan kerajaan mesti terbuka dalam membuat keputusan, berani diaudit, dan sanggup dipersoal. Tanpa ketelusan, segala slogan tentang “stabil dan makmur” hanya omongan kosong.

Kebertanggungjawaban juga kunci utama. Rakyat perlu tahu bahawa pemimpin yang dilantik benar-benar menjalankan tugas dengan amanah, bukan hanya menjaga kepentingan kelompok kecil atau kroni.

Pembangunan yang sebenar tidak hanya diukur daripada bangunan pencakar langit atau lebuh raya baru, tetapi juga sejauh mana keadilan ditegakkan. Keadilan dalam agihan peluang, dalam akses pendidikan, kesihatan, pekerjaan. Tanpa keadilan, pembangunan tidak inklusif dan akhirnya mencetuskan ketidakstabilan sosial.

Di samping itu, kecekapan pentadbiran turut jadi ukuran. Sistem birokrasi yang telus, pantas dan tidak membebankan rakyat akan mempercepatkan agenda pembangunan. Sebaliknya, birokrasi yang korup hanya melambatkan segala proses dan membuka ruang lebih luas untuk ketidakadilan.

Ringkasnya, kestabilan politik memang penting — tetapi ia hanyalah permulaan dan permukaan. Tanpa urus tadbir yang baik, integriti, ketelusan, kebertanggungjawaban, keadilan, dan kecekapan, kestabilan itu tidak ada makna.

Kerajaan yang benar-benar didamba rakyat bukan sahaja harus kelihatan stabil, tetapi juga ditadbir dengan nilai-nilai luhur yang menjamin masa depan rakyat keseluruhannya.

 

Oleh: Tulus Budiman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *