KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat Razeef Rakimin komited untuk memperkukuhkan parti itu di Sabah walaupun tewas pada pemilihan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) baru-baru ini.
Sambil menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada para perwakilan yang telah memberikan undi kepadanya, Ketua PKR Cabang Tuaran itu berkata walaupun tidak berjaya meraih kemenangan, pengalaman yang dilalui dalam proses pemilihan merupakan sesuatu yang amat berharga.
Dalam hantarannya di Facebook beliau pada Sabtu Razeef berkata sejak awal lagi beliau menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada cabang dan negeri, khususnya Sabah, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
“Atas permintaan beberapa rakan pimpinan dan anggota parti yang menginginkan lebih suara anak Sabah di peringkat pimpinan pusat, akhirnya saya memutuskan untuk bertanding,” katanya.
Namun, beliau turut mendedahkan bahawa terdapat beberapa masalah serius yang berlaku sepanjang proses pemilihan, menyebabkan beliau hampir menarik diri.
“Semua tahu pemilihan 2018 dan 2022, saya umpama ‘harimau’ seperti kata rakan-rakan namun pada pemilihan kali ini saya memilih untuk berdiam dan tidak menyatakan pendirian menyokong mana-mana pihak kerana saudara Rafizi Ramli dan saudari Nurul Izzah Anwar adalah rakan saya.
“Saya sedih melihat keadaan pemilihan kali ini. Saya pergi kedua-dua program HIRUK dan DAMAI sebagai tanda sokongan saya kepada kedua rakan saya yang sedang berentap,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran besar yang akan dihadapi PKR menjelang PRN Sabah, namun menegaskan komitmennya untuk memastikan jentera parti berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya.
“Sama ada dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Penerangan Pusat atau tidak, sama ada kekal sebagai Ketua Penerangan Negeri atau tidak, sebagai anggota parti saya ada rasa tanggungjawab dan akan menggerakkan pelbagai inisiatif semampu saya bagi memastikan jentera penerangan Keadilan Sabah bersedia mendepani serangan pihak pembangkang dan bersedia untuk menyerang dengan segala peluru yang ada di tangan,” tegasnya.
