Razeef tidak wakili pendirian PH – Datu Rosman

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menegaskan bahawa kenyataan dikeluarkan Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat merangkap Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Razeef Rakimin, tidak mencerminkan pendirian rasmi Pakatan Harapan (PH) secara keseluruhan.

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, berkata kenyataan itu perlu dilihat sebagai pandangan peribadi dan mewakili parti KEADILAN semata-mata, bukannya suara kolektif gabungan PH.

Katanya, rundingan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah adalah dilakukan bersama pimpinan tertinggi PH secara kolektif, bukan dengan satu-satu parti komponen seperti KEADILAN sahaja.

“Kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, berkenaan perancangan UMNO untuk bertanding 40 kerusi serta tawaran 33 kerusi kepada PH, adalah sebahagian daripada strategi agihan kerusi yang sedang dirundingkan jika kerjasama BN dan PH dimuktamadkan.

“Tawaran ini masih terbuka untuk rundingan. Sekiranya tiada persetujuan bersama, BN berhak membuka ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain yang bersedia untuk bekerjasama secara strategik demi kestabilan dan pembangunan negeri Sabah,” katanya.

Menurutnya, segala bentuk kerjasama baharu termasuk model ‘BN-PH Plus’ akan dibincangkan secara telus, namun satu perkara yang pasti ialah BN tidak akan bertanding sebagai parti minoriti atau dalam keadaan lemah.

“BN kekal dengan prinsip untuk menjadi parti dominan dalam mana-mana gabungan kerana kami percaya kepada rekod prestasi, kekuatan akar umbi, serta komitmen kami terhadap agenda rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Datu Rosman menyeru semua pihak agar menghormati proses rundingan yang sedang berjalan dan memastikan sebarang bentuk kerjasama politik dibina atas dasar kepercayaan, kematangan serta saling menghormati antara semua pihak berkepentingan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *