Rehatkan YB terkait rasuah – UMNO Sabah

KOTA KINABALU: UMNO Sabah menggesa Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sama ada merehatkan wakil-wakil rakyat yang dikaitkan dengan skandal rasuah yang menghakis kepercayaan serta kredibiliti institusi kerajaan negeri, atau menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk menentukan masa depan negeri dengan segera.

Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, yang membuat gesaan itu mendakwa ketika ini Hajiji kelihatan lebih memilih menyelamatkan parti dan individu tertentu di negeri itu berbanding memperbaiki institusi kerajaan negeri.

“Asasnya, keabsahan atau legitimasi sesebuah kerajaan tidak hanya terletak pada majoriti kerusi tetapi pada kepercayaan awam terhadap moraliti integriti dan keupayaan pemimpinnya untuk bertindak atas kepentingan rakyat.

“Apabila kepercayaan terhakis terutamanya berkaitan (isu) integriti dalam jemaah menteri yang berkait rapat dengan jantung pentadbiran, maka kerajaan tersebut secara moral perlu mengambil tanggungjawab.

“Sama ada merehatkan YB-YB (wakil rakyat) yang terlibat atau serahkan kuasa kepada rakyat dengan segera,” katanya sebagaimana dipetik Malaysiakini.

Datu Rosman dilaporkan berkata demikian dalam satu kenyataan media semalam sebagai mengulas skandal rasuah pelombongan mineral bernilai hampir RM4 juta yang mengaitkan pemimpin-pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kelmarin Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi; dan Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, didakwa atas tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.

Andi yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah dituduh menerima wang tunai berjumlah RM150,000 daripada ahli perniagaan Tei Jiann Cheing – juga dikenali sebagai Datuk Albert Tei – sebagai habuan untuk membantu permohonan lesen penerokaan bagi Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 12 Mei 2023 di kediamannya di Jalan Pantai Sembulan, Kota Kinabalu.

Yusof yang juga pengerusi Qhazanah Sabah Bhd pula didakwa menerima wang tunai RM200,000 daripada Tei di Hotel Hilton Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023. Suapan itu didakwa bertujuan untuk membantu proses permohonan lesen penerokaan bagi Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.

Tei – seorang ahli perniagaan dari Selangor dan juga pemberi maklumat dalam kes itu – turut didakwa atas dua pertuduhan menawarkan rasuah kepada wakil rakyat berkenaan.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pendakwaan hadapi masing-masing.

Susulan Pejabat Ketua Menteri Sabah memberitahu kerajaan akan mengkaji semula kedudukan dua pemimpin terbabit.

Datu Rosman kemudian menarik perhatian dengan beberapa lagi pemimpin GRS yang dikaitkan dengan skandal berkenaan, termasuk Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan bekas pemimpin PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Katanya, dakwaan yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti politik di Sabah itu kelihatan bukan sekadar tuduhan kosong.

“Ia disokong dokumen, mesej, dan video yang telah pun diserahkan kepada SPRM. Ini bukan lagi persepsi ini realiti pentadbiran yang sedang mengalami kehancuran.

“Sehingga hari ini, tidak ada satu laporan polis, tiada saman terhadap (pendedahan) Malaysiakini dan tiada penafian yang meyakinkan.

“Kerajaan Negeri Sabah pula kelihatan membiarkan institusi kerajaan negeri tercemar tanpa usaha untuk mengambil tanggungjawab dengan mengangkat integriti sebagai asas pentadbiran,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *