KOTA MARUDU: Seorang remaja lelaki maut, dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memanah ikan di sebatang sungai di Kampung Minansad, di sini, malam semalam.
Mangsa yang berusia 15 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dipercayai terkena renjatan elektrik oleh kabel putus yang terjatuh ke dalam air berhampiran lokasi dia memancing.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Simiun Lomudin, berkata siasatan mendapati bapa mangsa dimaklumkan bahawa anaknya telah pergi memancing dengan tiga orang rakannya di sungai sekitar jam 7 malam.
“Jarak antara rumah mangsa dan sungai adalah kira-kira satu kilometer. Sejam kemudian, salah seorang rakannya datang ke rumah mangsa dan memberitahu bahawa mangsa telah terekena renjatan elektrik ketika berada di dalam sungai.
“Bapa mangsa kemudian bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa berada di dalam sungai dengan kabel elektrik di tangannya,” katanya sebagaimana dilaporkan HMetro.
Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke tebing oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh seorang doktor dari Hospital Kota Marudu.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
