Rina Jainal digantung jawatan, tidak dicalonkan semula di Kukusan

KOTA KINABALU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) menggantung serta-merta jawatan Timbalan Presiden dan keahlian Datuk Rina Jainal selama tiga tahun, selain memutuskan untuk tidak menamakan beliau sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN Kukusan pada PRN-17.

Setiausaha Agung Harapan Rakyat, Christy Chok Lee Lui, berkata keputusan itu dibuat selepas Majlis Tertinggi menerima syor Jawatankuasa Disiplin parti yang menyelesaikan siasatan pada 29 Jun tahun lalu. Beliau berkata Rina didapati melanggar disiplin parti dan mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan imej parti dan Presiden Tan Sri Liew Yun Fah.

Menurutnya, walaupun parti memberi ruang kepada Rina untuk memberikan penjelasan, tindakan berterusan beliau telah menjejaskan reputasi parti, khususnya di Kukusan, sehingga menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Parti itu turut menyatakan bahawa sepanjang hampir dua tahun bersama Harapan Rakyat, Rina gagal mempromosikan parti dalam aktiviti kemasyarakatan dan tidak memaparkan logo parti di pejabat khidmatnya seperti mana diwajibkan kepada wakil rakyat.

Sehubungan itu, Harapan Rakyat menugaskan Ketua Bahagian Kukusan, Samsiah Usman, untuk meneruskan gerak kerja parti serta urusan khidmat masyarakat, termasuk usaha pewartaan empat perkampungan di kawasan Lapangan Terbang Lama, Tawau.

Dalam pertemuan bersama barisan kepimpinan parti di Kukusan, mereka sebulat suara bersetuju untuk tidak mencalonkan semula Rina pada PRN kali ini bagi memastikan fokus pembangunan dan hala tuju parti berjalan lancar.

Rina sebelum ini merupakan Ahli DUN Kukusan mewakili Warisan sebelum menyertai Harapan Rakyat pada 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *