TONGOD: Sejumlah RM520,000 telah dibelanjakan sejak 2020 bagi melaksanakan inisiatif khas sumbangan kepada pasangan pengantin baharu di daerah ini.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kuamut, Tokyo Hasim Omar berkata, sehingga Ogos tahun ini seramai 520 pasangan telah menerima manfaat daripada program tersebut.
“Bantuan khas ini merupakan antara manifesto peribadi Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah ketika bertanding dan menang atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) September 2020.
“Setiap pasangan yang baru berkahwin menerima sumbangan RM1,000 sebagai galakan untuk memulakan kehidupan berumah tangga,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Tokyo yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kuamut berkata, baru-baru ini Masiung turut menyampaikan sumbangan khas itu kepada pasangan pengantin baharu, Mohd Khairil Mohd Saharie dan Kamsinah Mahalil pada majlis perkahwinan mereka.
Menurutnya, Pejabat Wakil Rakyat Kuamut akan terus merekodkan setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga di daerah berkenaan bagi memastikan mereka disenaraikan sebagai penerima bantuan khas tersebut.
“Masiung menegaskan bantuan ini disampaikan tanpa mengira fahaman politik, kaum atau agama.
“Syarat utama ialah kedua-dua pasangan mestilah penduduk asal Tongod,” katanya. – SNT
