KOTA KINABALU: Tuntutan royalti minyak sebanyak 20% untuk Sabah kekal relevan dan tidak seharusnya diketepikan dalam perdebatan mengenai pemulangan hasil bersih 40% seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata bekas ketua menteri Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak.
Salleh dalam kenyataan di Facebook hari ini menekankan bahawa rakyat Sabah sebelum ini bersatu suara menuntut kenaikan royalti minyak daripada 5% kepada 20%, sebagai simbol aspirasi untuk mendapatkan bahagian yang lebih adil daripada sumber negeri.
“Hari ini, tumpuan telah beralih kepada tuntutan pemulangan hasil bersih 40% seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, pelaksanaannya masih tidak jelas dan sering diperdebatkan dari sudut perundangan dan teknikal,” katanya, yang juga merupakan ADUN Usukan.
Berbanding tuntutan 40% yang kompleks, Salleh menjelaskan bahawa tuntutan royalti minyak adalah lebih mudah difahami dan tidak memerlukan tafsiran yang rumit. Ia hanya memerlukan kesepakatan dan kemahuan politik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk dilaksanakan.
Beliau turut menyambut baik usaha untuk melibatkan Sabah dalam aktiviti hiliran minyak dan gas, menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah penyertaan industri dan pemerkasaan tempatan. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa penyertaan ini tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti kepada tuntutan royalti 20%.
“Royalti merujuk kepada hasil langsung daripada pengeluaran sumber – ia adalah soal hak, bukan sekadar kerjasama ekonomi,” tegas Salleh.
Menutup kenyataannya, Salleh menyeru agar suara asal rakyat Sabah untuk royalti minyak 20% tidak dilupakan semasa perbincangan mengenai isu pemulangan hasil 40% berlangsung.
