KOTA KINABALU: Buat julung kalinya, RTM Sabah akan menerbitkan Konsert Suara 34 Zon Sabah bertemakan “Muzik Kita, Jiwa Kita” sebagai kesinambungan kepada program radio popular Suara 34.
Pengarah Penyiaran Sabah Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah Mohd Yusni Mohamed Ali dalam satu kenyataan memaklumkan Sabah menjadi lokasi kedua dalam siri jelajah konsert yang akan berlangsung di seluruh negara mengikut zon.
“Konsert yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 24 Mei depan di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah, Kota Kinabalu akan bermula jam 9.00 malam hingga 11.00 malam dan bakal dihadiri tetamu kehormat, Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia Saifuzzaman Yusop.
“Menampilkan gabungan artis popular tanah air dan bakat tempatan negeri Sabah, konsert ini menjanjikan hiburan dua jam yang bertenaga dengan persembahan daripada Hazama, Azharina Azhar, Adira, Candy, Jacklyn Chia, Afieq Syazwan dan Kiki.
“Turut memeriahkan pentas ialah persembahan tarian oleh Ala Panggung Production yang akan diiringi Kombo Muzik RTM Sabah,” katanya.
Katanya, apa yang menarik, konsert ini turut diserikan dengan persembahan khas oleh juruhebah enam stesen radio RTM Zon Sabah iaitu SABAHfm, LABUANfm, SABAHVfm, TAWAUfm, SANDAKANfm dan KENINGAUfm.
“Pengacaraan acara pula akan digalas oleh DJ Pyan, DJ Edith dan pelawak Atu Zero yang dijangka menyuntik elemen segar dan menghiburkan sepanjang konsert berlangsung.
“Konsert Suara 34 adalah inisiatif strategik Bahagian Program Radio RTM untuk memperkukuhkan jenama Suara 34, yang berjaya disiarkan secara serentak di 34 stesen radio RTM seluruh negara.
“Program ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi satu platform memartabatkan muzik tempatan dan menjalin hubungan erat antara penyiar dan komuniti,” katanya.
Menurutnya, konsert ini akan disiarkan secara langsung menerusi TV2, semua stesen radio RTM Zon Sabah, RTMKlik serta platform media sosial rasmi RTM Sabah dan ia adalah hasil kolaborasi strategik antara RTM Sabah dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah.
Orang ramai khususnya penduduk sekitar Kota Kinabalu dijemput hadir bagi memeriahkan konsert yang terbuka kepada umum dan masuk adalah percuma.
