RANAU: Bakal calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman, menggariskan lima teras utama pembangunan yang akan ditawarkan kepada pengundi di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah berkata, teras pertama ialah memperkukuh pembangunan infrastruktur asas, khususnya membabitkan jalan kampung bagi manfaat penduduk setempat.
“Saya melihat pembangunan infrastruktur asas ini wajar diberikan keutamaan demi kebaikan dan kesejahteraan penduduk Paginatan,” katanya menerusi hantaran di media sosial kelmarin.
Menurutnya, teras kedua memberi tumpuan kepada pendidikan kanak-kanak, manakala teras ketiga ialah mewujudkan hab aktiviti kemahiran bagi belia.
“Teras keempat pula menekankan pemerkasaan pembangunan wanita, ekonomi desa dan ekonomi Rahmah.
“Seterusnya, teras kelima adalah menaik taraf kesihatan, kesejahteraan rakyat serta memperkemaskan tadbir urus dan khidmat wakil rakyat,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda, mengumumkan Rusdin sebagai bakal calon parti itu di DUN Paginatan.
Ketika ini, kerusi DUN Paginatan disandang Datuk Abidin Madingkir daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – Utusan Borneo
