KOTA KINABALU: Isu-isu kemudahan asas di negeri ini perlukan penyelesaian konkrit bukan sekadar retorik politik berulang, kata Ketua Penerangan parti Gagasan Rakyat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Nizam, yang juga ADUN Apas merangkap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah berkata demikian susulan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang mengkritik keadaan infrastruktur di Sabah.
Beliau berkata walaupun Suhaimi berhak bersuara sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih bertanggungjawab dan jujur dalam menilai kelemahan pentadbiran masa lalu, khususnya ketika Sabah diperintah oleh Barisan Nasional (BN).
“Suhaimi mempersoalkan ke mana perginya kekayaan negeri hasil kutipan balak berjumlah RM5.3 bilion sejak tahun 1999, namun secara tidak langsung beliau juga mengakui kegagalan pentadbiran terdahulu yang diterajui oleh UMNO dan BN dalam membangunkan kemudahan asas rakyat,” kata Nizam dalam satu kenyataan hari ini.
Nizam menambah, kerajaan semasa hanya mengurus kutipan hasil balak bagi tempoh 2020 hingga 2023 dengan jumlah sekitar RM639 juta – angka yang menurutnya terlalu kecil jika dibandingkan dengan keperluan infrastruktur negeri yang luas.
“Perumpamaannya seperti cuba membeli Toyota Super King dengan bajet Perodua Kancil. Mustahil untuk menampung jurang pembangunan yang diwarisi sejak sekian lama,” jelas beliau.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan penggunaan dana sebanyak RM7.5 bilion yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan antara 2006 hingga 2015 untuk menyelesaikan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya.
Selain itu, Nizam mengingatkan bahawa UMNO Sabah turut menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri 2020, termasuk pelantikan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah, namun katanya, masih tiada penyelesaian konkrit dapat dibuktikan sepanjang tempoh tersebut.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa pentadbiran negeri kini sedang melaksanakan pelbagai pendekatan menyeluruh untuk menangani isu infrastruktur asas:
Bekalan air: Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030 dan mampu menyalurkan 6,000 juta liter air sehari – cukup untuk keperluan Sabah selama 100 tahun.
Elektrik: Usaha sedang giat dijalankan untuk menambah sumber tenaga termasuk solar, sistem simpanan bateri dan sambungan tenaga dari Sarawak.
Jalan raya: Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo serta peruntukan hampir RM500 juta oleh kerajaan negeri untuk menaik taraf jalan negeri di kawasan utara dijangka mengurangkan isu kesalinghubungan luar bandar.
Menurut Nizam, banyak jalan utama di Sabah berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan tidak wajar kerajaan negeri dijadikan sasaran utama kritikan.
“Lebih baik Suhaimi salurkan suara rakyat kepada Presidennya sendiri yang kini Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kementerian yang mempunyai tanggungjawab langsung terhadap pembangunan luar bandar,” katanya lagi.
Nizam turut menegaskan bahawa kerajaan negeri kini lebih tersusun dan komited terhadap penyelesaian, berbeza dengan era pentadbiran lalu.
“Kerajaan Sabah hari ini kembali kepada rakyat Sabah melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Kritiklah secara berfakta, bukan dengan naratif sensasi yang hanya menambah keresahan rakyat,” tegasnya.
