Sabah perlukan dasar yang kukuh, komitmen yang ikhlas – Salleh

KOTA KINABALU: Kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan dibubarkan tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) adalah sesuatu yang dijangka memandangkan penggal semasa hampir tamat, kata ADUN Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh berkata, pembubaran DUN adalah sebahagian daripada proses biasa dalam sistem demokrasi dan PRN yang menyusulinya membuka ruang kepada rakyat untuk membuat penilaian serta memperbaharui mandat yang diberikan sebelum ini.

“Kuasa akan dikembalikan kepada rakyat,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Dalam tempoh menjelang pilihan raya, suasana politik semakin rancak dengan parti-parti dan pemimpin mula turun padang, mengadakan pelbagai program dan mengeluarkan kenyataan bagi menarik perhatian pengundi.

Namun begitu, Salleh menegaskan bahawa ramai rakyat sebenarnya sudah membuat keputusan lebih awal berdasarkan pengalaman dan keprihatinan pemimpin terhadap kehidupan mereka.

“Mereka tahu siapa yang konsisten turun padang, siapa yang hanya muncul ketika hampir pilihan raya, dan siapa yang benar-benar memahami denyut nadi kehidupan mereka,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa dalam sistem politik berasaskan parti, kesetiaan terhadap parti yang lama bertapak adalah sukar digoyahkan. Ia terbina melalui pengalaman, khidmat dan kepercayaan yang berakar umbi sejak sekian lama.

“Seperti seseorang yang sudah biasa minum Coke, bukan mudah baginya untuk menerima Pepsi. Dalam politik juga begitu – kesetiaan bukan sekadar soal jenama, tetapi soal kepercayaan yang telah dibina,” katanya dengan analogi.

Namun begitu, beliau mengakui bahawa tumpuan utama dalam pilihan raya kali ini ialah kepada pengundi muda dan pengundi atas pagar yang lebih bebas dan cenderung membuat keputusan berdasarkan prestasi dan isu semasa.

“Untuk mendekati mereka, parti politik mesti membawa mesej yang jelas, menangani isu kehidupan sebenar, dan menawarkan visi masa depan yang diyakini – bukan sekadar slogan atau pengumuman sementara,” jelas beliau lagi.

Salleh, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, turut menekankan bahawa masa depan Sabah tidak boleh bergantung kepada retorik semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan kepimpinan yang stabil, dasar yang kukuh dan komitmen ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat sepanjang masa.

“Pilihan raya ini adalah saat penting untuk semua pihak – baik parti mahupun rakyat – membuat penilaian yang matang dan memperbaharui tekad untuk membina sebuah Sabah yang lebih stabil, adil dan makmur,” tegas beliau.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *