Sabah rekod 655,241 pemilih baharu, empat Parlimen catat jumlah pengundi tertinggi

KOTA KINABALU: Sebanyak 655,241 pemilih baharu sudah didaftarkan sebagai pengundi dan layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual akan berlangsung sebelum November tahun ini.

Jumlah pertambahan pengundi baharu itu mengikut Daftar Pemilih Tambahan Julai 2025 (DPT BLN7/2025) dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan telah diwartakan kelmarin.

Mengikut daftar pemilih terbaharu SPR itu, pertambahan tersebut sekali gus menyaksikan jumlah terkini pemilih berdaftar telah meningkat kepada 1,779,839 orang ketimbang 1,124,598 orang Ketika PRN Sabah pada 2020.

Sehingga Julai lalu, Parlimen Sepanggar merekodkan jumlah pengundi tertinggi dengan 117,520 diikuti ParlimenLahad Datu, 107,242 orang.

Parlimen Sepangar memiliki tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Karambunai, Darau dan Inanam, manakala DUN Tunku, Segama, Silam serta Kunak terletak dalam Parlimen Lahad Datu.

Bagi Parlimen Keningau dan Tawau pula, masing-masing mencatatkan 92,880 dan 91,507 orang.

Peningkatan besar kepada jumlah pemilih berdaftar baharu itu antara lain didorong dengan kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik yang mula dikuat kuasa sejak Disember 2021.

DUN Sabah Ke-16 terbubar secara sendiri pada 11 November, sekiranya tidak dibubarkan sebelum tarikh itu. – Harapan Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *