KOTA KINABALU: Slogan ‘Sabahan Nombor 1’ adalah cerminan kepada perjuangan sebenar Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak.
Bendahari UMNO Sabah itu menegaskan slogan tersebut menunjukkan bagaimana BN yang meletakkan kepentingan rakyat Sabah sebagai keutamaan dalam apa juga langkah dan tindakannya.
“Ini bukan slogan kosong. BN perjuang hak rakyat Sabah melalui dasar dan pembangunan yang nyata — bukan janji semata, tetapi pelaksanaan,” katanya dalam ucapan pada Program Radu Tatap Radu UMNO Papar di Benoni, Pantai Manis, semalam.
Program itu dirasmikan oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.
Salleh yang juga ADUN Usukan turut menekankan bahawa BN tidak bersaing dengan sentimen, tetapi dengan semangat dan titik peluh.
“Kita tidak datang dengan wang, tapi dengan semangat dan kerja keras. Itu yang membezakan kita,” ujarnya.
Menurut beliau, BN Sabah bergerak seiring dengan Kerajaan Perpaduan, dengan hala tuju yang jelas — memastikan suara Sabah menjadi suara penentu dalam hal ehwal negara.
Turut hadir pada program itu ialah beberapa pemimpin UMNO Sabah termasuk Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan; Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Ramie Unggi; Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Tamin Zainal; serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
