Sah! Nurul Izzah tanding jawatan Timbalan Presiden

KOTA KINABALU: Sah! Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2025-2028.

“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya, Nurul Izzah Anwar, menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden KEADILAN 2025-2028.

*Sekiranya perwakilan KEADILAN merasakan saya sesuai untuk menggalas tanggungjawab dan amanah besar ini, Insya-Allah, saya akan berusaha melakukan yang terbaik demi KEADILAN,”kata ‘Puteri Reformasi’ itu dalam kenyataan di Facebooknya.

Dalam kenyataan itu Nurul Izzah berkata, beliau akan memikul amanah tersebut sekiranya dipilih oleh perwakilan kelak.

“Sekiranya saya dipilih kelak, misi utama saya adalah saling berusaha dan bekerja bersama anggota, pendukung serta sukarelawan di cabang-cabang – khususnya di 50 kerusi marginal.

“Kerana PRU-16 bukan boleh dimenangi menerusi usaha mana-mana individu. Kita tidak mampu bergerak berseorangan,” katanya

Dalam kenyataaan sama, Nurul Izzah turut memperjelaskan tentang persepsi “Parti Anak Beranak” yang dituduh oleh segelintir pihak selama ini.

Katanya, serangan itu bukanlah baharu, malah, sejak 1998, ketika bersama pengasas dan pejuang Reformasi bersama-sama menubuhkan PKR, label ini telah digunakan untuk memperlekeh perjuangan parti itu.

“Hakikatnya, jika saya memilih untuk kekal bertanding Naib Presiden pun kali ini, saya tetap akan digelar begitu.

“Walau apa jua gelaran dan persepsi yang dilemparkan selama puluhan tahun, saya tetap akan terus berkhidmat, Insya-Allah – kerana yakin bahawa proses bertanding secara terbuka lantas mendapat mandat daripada akar umbi bukanlah satu bentuk nepotisme.

“Sebaliknya, itulah asas demokrasi yang perlu kita pertahankan dalam parti kita ini,” tambah beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *