Salah guna AI boleh ancam budaya tradisi – Pairin

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyeru kepada perpaduan dan memberi amaran terhadap penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) ketika Festival Kaamatan 2025 selama sebulan melabuhkan tirainya.

Bercakap di acara kemuncak yang berlangsung di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Penampang pada Jumaat (31 Mei), Pairin berkata penggunaan AI tanpa kawalan boleh membawa kepada hakisan budaya malah kehancuran.

“Jika disalah guna, AI boleh menjadi satu kuasa pemusnah. Ia boleh memesongkan nilai, memesongkan tradisi kita, dan menjauhkan kita daripada identiti sebenar kita sebagai rakyat Sabah dan Malaysia,” kata Pairin, yang juga merupakan Huguan Siou Kadazandusun.

Presiden KDCA itu turut mengalu-alukan kehadiran Tun Musa Aman, yang hadir buat kali pertama sebagai Tuan Yang DiPertua Sabah.

“Kita adalah satu keluarga besar, dan Kaamatan adalah satu platform yang menyatukan kita, bukan sahaja untuk menghormati hasil tuaian, tetapi juga untuk memperkukuh identiti dan aspirasi kita,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Pairin berkata Kaamatan adalah jambatan yang menghubungkan rakyat Sabah dengan nenek moyang mereka dan juga dunia luar.

“Di sinilah budaya bertemu inovasi, dan di sinilah kita perlu melangkah dengan berhati-hati.

“Biarkan imaginasi anda terbang tinggi, tetapi biarlah ia berakar dalam nilai. Kita mahu tradisi kita berkembang, bukan lenyap,” katanya.

Sambutan itu berakhir dengan pengisytiharan rasmi oleh Tun Musa yang menandakan penutupannya dengan paluan gong sebanyak tujuh kali.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *