KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menyeru agar satu pendekatan politik baharu yang lebih adil dan inklusif diterapkan di Sabah bagi memastikan setiap komuniti merasa dihormati dan terlibat dalam proses tadbir urus negeri.
Menurut beliau, kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Sabah menuntut satu sistem politik yang tidak hanya adil secara teori, tetapi turut menjamin penyertaan bermakna setiap kelompok masyarakat.
“Kita perlukan satu sistem berasaskan meritokrasi representatif, yang bukan sahaja mencerminkan kemajmukan Sabah, tetapi turut memastikan pemimpin yang dilantik benar-benar berkelayakan, berwibawa dan berintegriti,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini.

Salleh menegaskan kepentingan representasi yang bermakna bagi tiga kelompok utama di Sabah—Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam dan bukan Bumiputera—dalam struktur kerajaan.
Beliau menolak peranan simbolik semata-mata, sebaliknya menuntut penglibatan sebenar dalam pelaksanaan dasar dan pembuatan keputusan.
Tambah beliau, selain mewakili komuniti, penyertaan parti-parti politik utama yang mempunyai sokongan meluas di seluruh Sabah juga perlu diberi perhatian dalam struktur perkongsian kuasa. Namun, jelasnya, pelantikan mesti tetap berasaskan merit bagi memastikan kualiti pentadbiran negeri.
“Inilah semangat sebenar konsep akomodasi politik yang kita perlukan—kerjasama antara komuniti dan parti untuk memastikan kestabilan, keadilan dan perpaduan dalam tadbir urus,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan pendekatan ini memerlukan kemahuan politik yang tulus dan berani, berpaksikan rasa hormat serta visi bersama demi masa depan Sabah.
Salleh menyifatkan pendekatan tersebut sebagai sejajar dengan semangat asal pembentukan rangka politik Sabah, iaitu berteraskan persefahaman, kerjasama dan perkongsian kuasa yang adil antara pelbagai komuniti. Katanya, ia mencerminkan nilai-nilai perlembagaan yang menjunjung keseimbangan, keterangkuman dan autonomi wilayah.
“Yang paling penting adalah membina model tadbir urus yang inklusif, kompeten dan berpaksikan tanggungjawab bersama—di mana setiap komuniti dan wilayah memainkan peranan bermakna dalam mencorak masa depan Sabah,” ujar beliau.
