Salleh seru persaingan secara matang, beradab

KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) DUN Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menyeru agar persaingan bagi merebut kerusi itu berjalan secara matang dan beradab, sejajar dengan kepentingan menjaga keharmonian masyarakat selepas pilihan raya.

Beliau berkata, walaupun lebih daripada tiga calon bertanding di DUN berkenaan pada pilihan raya negeri kali ini, tumpuan utama tetap terarah kepada calon daripada BN, Warisan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Warisan mencalonkan Isnaraissah Munirah Majilis, GRS menampilkan Datuk Japlin Akim, manakala BN pula meletakkan Salleh sebagai calon.

Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah berkata, pilihan raya negeri bukan sekadar pertandingan kecil, sebaliknya medan penting yang mencerminkan persaingan dasar serta hala tuju parti-parti utama untuk masa depan Sabah.

“Justeru pengundi Usukan mempunyai peluang menilai bukan sahaja individu calon, tetapi juga rekod dan kemampuan pentadbiran parti-parti berkenaan,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Salleh turut menyatakan bahawa sokongan penyokong tegar setiap parti lazimnya tidak banyak berubah, namun keputusan sebenar akan bergantung kepada penilaian pengundi atas pagar yang membuat keputusan secara lebih objektif.

Beliau berharap agar sepanjang tempoh berkempen dan pada hari pengundian, suasana kekal tenang dan tertib demi memastikan perpaduan serta keharmonian di Usukan terus terpelihara selepas proses demokrasi tersebut selesai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *