Samasuddin tekad perkasa pendidikan, peluang pekerjaan, usahawan wanita dan insfrastruktur

KALABAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N71 Tanjung Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Samasuddin Yusop, menegaskan komitmennya untuk membawa pembangunan menyeluruh khususnya melibatkan pendidikan, peluang pekerjaan dan peningkatan ekonomi rakyat.

Menurutnya, fokus utama adalah memperkenalkan inisiatif baharu selain memperkukuh penambahbaikan sedia ada demi memastikan masyarakat setempat menerima manfaat secara langsung.

“Kita akan fokus perkara-perkara yang baharu serta penambahbaikan yang sedia ada seperti menaiktaraf perparitan di kawasan kampung. Ia juga turut melibatkan anak-anak muda terutamanya isu pendidikan dan akan terus fokus isu ini bahawa betapa pentingnya pendidikan dan pembangunan serta memperluaskan di masyarakat N71.

“Bagi generasi muda yang memerlukan pekerjaan untuk menjamin kehidupan dan masa depan mereka. Kita akan mencari solusi untuk mereka bagi jangka pendek dan panjang.

“Tidak ketinggalan juga bagi wanita pula untuk memperluaskan hasil produk mereka yang dibuat dari rumah mereka untuk dipasarkan yang lebih baik dan rapi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yakin perancangan ini akan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat serta membuka ruang pembangunan lebih besar di Tanjung Batu.

Mengulas lanjut, Samasuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan berkata, fokus itu akan menjadi antara agenda utamanya dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.

“Insya Allah… sekiranya saya dipilih sebagai wakil rakyat di N71 Tanjung Batu maka inilah perkara-perkara utama yang saya akan perjuangkan untuk generasi muda, wanita dan insfrastruktur kampung-kampung,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat). – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *