Sambutan Ulang Tahun Kelahiran TYT hanya sebulan – Dr Joachim

KOTA KINABALU: Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Datuk Seri Joachim Gunsalam menegaskan bahawa dakwaan majlis sambutan tersebut berlangsung selama tiga bulan adalah tidak tepat.

Beliau menjelaskan bahawa sambutan itu hanya akan berlangsung selama satu bulan, iaitu pada Jun 2025. Menurutnya, perayaan tersebut tidak akan berlangsung selama tiga bulan seperti yang didakwa, sebaliknya tujuh acara yang dirancang akan diadakan dalam tempoh satu bulan sahaja.

“Program rasmi bagi sambutan ulang tahun kali ini akan diadakan pada 21 Jun 2025, berdasarkan keputusan Kabinet Negeri Sabah.

“Untuk makluman, jumlah acara yang dirancang juga telah dikurangkan daripada 12 acara pada tahun lalu kepada tujuh acara sahaja untuk tahun ini. Selain itu, peruntukan perbelanjaan turut dikurangkan sebanyak 30 peratus berbanding tahun 2024,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambah beliau, kesemua tujuh acara yang dianjurkan adalah acara-acara tradisional yang lazim dilaksanakan sempena sambutan hari ulang tahun kelahiran rasmi TYT, sama seperti pada tahun-tahun sebelumnya.

“Saya berharap penjelasan ini memberikan pencerahan yang jelas, dan acara-acara ini tidak disalahertikan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *