ALOR SETAR: PAS Sabah kini lebih bersedia berbanding pilihan raya negeri (PRN) terdahulu dengan membawa ‘roadmap’ yang jelas dalam menghadapi PRN-17 akan datang.
Perwakilan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Jumaidin Lakalla berkata, berbeza dengan sebelum ini apabila PAS Sabah hanya bertanding sekadar ingin bertanding, kali ini persediaan lebih tersusun termasuk jentera di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), kampung serta pulau.
“Seperti yang dimaklumkan, kita sekurang-kurangnya akan bertanding beberapa kerusi insya-Allah.
“Program-program juga banyak berfokus kepada belia dan wanita sebagai kunci kemenangan,” katanya di sini pada Jumaat.
Beliau menyatakan, PRN-17 bukan sekadar pilihan raya negeri, sebaliknya penentu masa depan PAS Sabah yang menyasarkan kemenangan sulung di negeri berkenaan.
“Kalau sekiranya lebih daripada satu kemenangan, maka itu merupakan satu kebaikan kepada kita di Sabah.
“Tetapi sekiranya tiada kemenangan, orang akan membina naratif bahawa PAS Sabah tidak diterima oleh masyarakat Sabah,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh Pemuda PAS membantu gerak kerja pilihan raya di negeri berkenaan.
“Seruan khusus saya tujukan daripada Pemuda PAS Sabah kepada seluruh Pemuda PAS Malaysia, terutama sekali kepimpinan yang berada di atas pentas.
“Kami menyeru seluruh Pemuda negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah, Pulau Pinang, Perak, bahkan Sarawak datanglah ke Sabah dalam PRN-17 nanti,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Sabah adalah negeri yang luas dengan banyak kampung pedalaman, pulau jauh dan jalan sukar ditempuhi, sekali gus memerlukan tenaga besar dari seluruh negara.
“Kalau datang sahabat-sahabat, jangan lupa bawa duit banyak kerana kita mahu buat program sebelum tempoh kempen 14 hari bermula. Kita perlukan dana untuk membantu menggerakkan program-program sedia ada,” katanya.
Jumaidin juga menegaskan bahawa PRN Sabah bukan hak milik orang Sabah sahaja, sebaliknya perjuangan PAS Malaysia.
“Ingatlah, jika kita rapatkan saf dan gabungkan tenaga, Sabah akan menjadi benteng baharu perjuangan Islam. Kukuhkan ukhuwah antara kita semua dan jangan ada pergaduhan.
“Kalau ada yang berebut mahu jadi pemimpin, datanglah ke Sabah kerana di sini terlalu banyak kekosongan dan jawatankuasa,” tambahnya.
Beliau turut menyeru anak muda kelahiran Sabah yang kini berada di Semenanjung untuk kembali membantu gerakan PAS negeri itu.
“Baliklah ke Sabah untuk sama-sama membantu PAS negeri. Dengan izin Allah, Pemuda PAS akan terus menjadi obor perjuangan Islam membawa keadilan untuk semua rakyat Malaysia.
“Kita buktikan bahawa PAS bukan sahaja relevan di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak,” katanya. – HARAKAHDAILY
