SELAYANG PANDANG: UMNO tutup pintu untuk Shahelmey, DARD di DUN Sulaman?

Ada dua berita menarik dalam dua hari terakhir ini. Kedua-duanya mengenai UMNO/BN Sabah, dan kedua-duanya saya petik dari portal berita FMT.

Berita pertama mengenai ‘peringatan’ daripada Ketua UMNO/BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin kepada ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya supaya tidak memasang cita-cita mewakili BN di kerusi DUN berkenaan.

Bung Moktar memberi peringatan itu sebagai menjawab kenyataan Shahelmey berhubung pengumuman yang dibuat oleh Bung yang menamakan Ketua Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon BN di kawasan terbabit.

Pada Ahad, Shahelmey yang juga TKM III dilaporkan berkata perkara berkenaan hanya ‘diumumkan’ dan watikah sebagai calon dikeluarkan BN menjelang PRN.

“UMNO dan BN Sabah tidak pernah terfikir untuk meletakkan dia sebagai calon,” kata Bung Moktar kepada FMT sambil menegaskan UMNO enggan memilih individu dianggap tiada kesetiaan.

Beliau malah menegaskan UMNO sedia Shahelmey yang membayangkan kemahuannya mempertahankan kerusi Tanjung Keramat, dimenanginya atas tiket BN pada PRN lima tahun lalu.

“Kalau dia bertanding parti lain, silakan. UMNO bersedia berhadapan dengannya bila-bila masa,” katanya.

Satu lagi berita yang dipetik daripada FMT mengenai UMNO/BN Sabah berkaitan dengan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (DARD), yang merupakan Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Dalam kenyataannya berkenaan DARD, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah sedia meletakkan bekas menteri persekutuan itu untuk bertanding di salah satu daripada empat DUN bawah Parlimen Tuaran pada PRN akan datang.

Salah satu daripadanya kerusi DUN Sulaman yang kini disandang Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Selain Sulaman, DUN lain adalah Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu. Pada PRN 2020, Pantai Dalit dimenangi Barisan Nasional (BN) menerusi Jasnih Daya yang tiga tahun kemudian keluar Umno untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

DSP Abdul Rahman Dahlan (Gambar fail BERNAMA)

Bung Moktar berkata kedudukan Rahman sebagai Ketua UMNO Tuaran dan berasal dari Sulaman mungkin melayakkannya mewakili BN di kawasan berkenaan.

“Malah penyokong UMNO di sana sedia menyokong kerana yakin dengan kemampuannya,” katanya dalam temu bual dengan FMT sambil menegaskan setiap ketua UMNO bertanding di kawasan sendiri bukan berhijrah tempat lain.

Bung berkata demikian sebagai mengulas laporan Daily Express, Selasa lalu memetik kenyataan Rahman yang sedia memberi laluan jika parti memutuskan tidak mencalonkannya pada PRN tahun ini.

Namun, bekas menteri persekutuan itu menjelaskan beliau akan mempertimbangkan jika parti memerlukannya bertanding.

“Saya sebetulnya terperanjat dan terkejut dengan kenyataan timbalan saya ini,” kata Bung yang juga ahli MKT Umno mengulas lanjut kenyataan Rahman.

“Seharusnya perkara seumpama ini (pencalonan pilihan raya) kita bincang dalam mesyuarat,” katanya.

Hmmm, kata saya.

 

 

OLEH: Adikahini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *