PAPAR: Semangat kebersamaan dan perpaduan menjadi teras utama dalam perjuangan Barisan Nasional (BN) Papar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, demikian ditekankan oleh Ketua UMNO Bahagian Papar merangkap Pengerusi BN P175 Papar, Datuk Jamal Nerubi.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Santai Belia dan Pemuda PDM Pengalat Besar, baru-baru ini.
Jamal menegaskan bahawa kejayaan BN bergantung kepada kekuatan kebersamaan jentera dan semangat perjuangan yang tidak mudah goyah, terutama di kalangan golongan muda yang menjadi nadi penggerak parti.
“Kita perlu terus bersatu, sehaluan dan sejiwa dalam perjuangan ini. Semangat kebersamaan inilah yang akan menjadi kekuatan kita untuk menghadapi PRN Sabah dengan yakin dan berstrategi,” ujarnya.
Beliau menekankan kepentingan golongan belia sebagai tulang belakang perjuangan BN di peringkat akar umbi, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung Nov ini.
“Semua lapisan jentera terutamanya Pemuda dan Puteri perlu terus bersatu hati, bekerja secara tersusun, serta mendekati masyarakat dengan pendekatan mesra rakyat.
“PRN kali ini bukan sekadar medan politik, tetapi medan untuk kita buktikan kesetiaan, kesungguhan dan kemampuan BN membawa suara rakyat Sabah dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Jelasnya, program santai ini turut menjadi wadah bagi mengeratkan hubungan antara kepimpinan BN dengan generasi muda di peringkat PDM, sekali gus memperkukuhkan semangat perpaduan komuniti setempat.
“BN Papar komited untuk terus mendekati masyarakat melalui aktiviti santai dan mesra rakyat seperti ini, kerana ia bukan sahaja mengeratkan hubungan kepimpinan dan belia, tetapi juga menyalakan semula semangat perjuangan di peringkat PDM.”
Program yang berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan itu turut diserikan dengan perlawanan persahabatan Karom antara Kelab Karom Sekayan Teriakk dan Kelab Karom Samparian.
Jamal bukan sahaja hadir menyaksikan perlawanan tersebut, malah turut beramah mesra dengan para belia dan jentera tempatan, menyemai semangat perpaduan di peringkat akar umbi.
“Ini adalah antara keutuhan perpaduan antara kepimpinan BN dan golongan muda, sekaligus mencerminkan kesiapsiagaan jentera BN Papar untuk mengharungi PRN Sabah akan datang dengan semangat juang yang tinggi serta kebersamaan yang kukuh,” katanya lagi. – UMNO Online
