SANDAKAN: Presiden parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan menafikan dakwaan bahawa kekuatan parti itu hanya tertumpu di pantai timur Sabah.
Sebaliknya, kata beliau, parti itu turut mendapat sokongan di kawasan pantai barat dan pedalaman negeri ini.
Menolak tanggapan bahawa Warisan kini hanya kuat di kubu tradisinya di pantai timur, sambil menyatakan parti itu masih mempunyai kehadiran di kawasan seperti Sepanggar, Darau dan Moyog walaupun beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah keluar parti.
“Kekuatan Warisan bukan hanya di pantai timur. Kita pernah ada YB dari Sindumin, Bongawan, Papar dan Kudat yang keluar parti.
“Tapi kita juga masih ada wakil di Moyog, Sepanggar dan Darau. Jadi macam mana boleh dikatakan Warisan hanya kuat di pantai timur?” katanya.
Ahli Parlimen Semporna yang juga ADUN Senallang itu berkata selepas Sesi Dialog Belia Sabah yang diadakan di Hotel Sandakan pada malam Sabtu, yang dihadiri kira-kira 400 peserta.
Pada pilihan raya negeri terakhir pada 2020, Warisan memenangi 23 kerusi DUN. Bagaimanapun, jumlah itu menurun susulan beberapa insiden lompat parti dan kematian ADUN Bugaya pada tahun yang sama.
Kini, parti tersebut menguasai 14 kerusi di Dewan Undangan Negeri selepas kemasukan dua bekas ADUN DAP dari Elopura dan Sri Tanjong.
Shafie berkata beliau tetap yakin terhadap sokongan akar umbi Warisan, khususnya selepas lawatannya baru-baru ini ke Tungku, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau.
“Insya-Allah, kita masih memegang majoriti kerusi di pantai timur. Saya percaya kita boleh pertahankan. Tapi kita tidak boleh leka. Kita berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan dan kita perlu bekerja keras supaya Warisan terus bersama rakyat dan menjadi pilihan mereka,” tambahnya.
